
Selepas member Wan de Real ‘di-pimping’ kelmarin, kini giliran Kosmonaut pula di-pimping oleh Utusan Malaysia. Dengan sukacitanya TransMY mempersembahkan artikel dari Utusan Malaysia yang bertarikh 19 September untuk tatapan semua ahli TransMY dan peminat Transformers tanahair.
“Ahady Rezan sangat obses dengan kartun Transformer semasa kecil. Dia akan bersila di hadapan televisyen setiap kali rancangan itu disiarkan. Setiap pergerakan robot itu di skrin televisyen diteliti dengan penuh minat.
Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu juga tidak peduli apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia juga tidak mahu waktu emasnya itu diganggu oleh orang lain sama ada menukar saluran lain atau mengambil alat kawalan jauh yang sentiasa di sisinya.
”Kartun Transformer memang menjadi idola saya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bapaya, Mohd. Jamil Labah dan ibu, Fauziah Noor pula seakan-akan memahami minat Ahady. Banyak juga mainan berunsurkan transformer yang dibeli oleh mereka walaupun pada ketika itu agar sukar untuk mendapatkannya di Malaysia.
Kalau mahu tahu, hampir kesemua mainan milik suami kepada Nurul Shazrini Sharif, 27, itu dibeli di Singapura setiap kali ibu bapanya yang merupakan usahawan itu bertugas di luar negara.
Kesempatan itu digunakan untuk membeli mainan Transformer terutama edisi terhad keluaran negara matahari terbit itu. Sehingga hari ini, Ahady mempunyai lebih 1,000 mainan jenis kereta Transformer yang dikumpul sejak 2003.
Pereka grafik di sebuah syarikat swasta itu semakin ‘gila’ sehingga sanggup mengorbankan separuh daripada gajinya bagi pelaburan koleksi Transformer sebelum dia berkahwin tiga tahun lalu.
”Figura Transformer tidak sama dengan karakter kartun lain kerana ia boleh bertukar. Contohnya daripada kereta, kapal terbang atau binatang menjadi robot. Rasa seronok bertambah sekiranya dapat bermain dengan geng koleksi terhadnya kerana setiap siri mempunyai watak tersendiri,” kata bapa kepada Mikael Zikry yang berusia 15 bulan itu.
Ditanya kepuasan yang diperoleh hasil minatnya itu, pantas anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu, ia berkait rapat dengan minat peribadi seseorang pemilik.
Graduan Grafik Komputer dari Universiti Wanganui, New Zealand itu berkata, kebanyakan pengumpul Transformer akan sedaya upaya melengkapkan koleksi robot mereka. Caranya dengan saling berhubung menerusi forum terbuka di Internet untuk mengetahui perkembangan terbaru figura berkenaan.
-UM